Rabu, 17 Juni 2009

Sultan Tiada Kaitan dengan Kontroversi Tentu TT-Manohara

Sultan tiada kaitan dengan kontroversi Tengku TT-Manohara
Jun 16, 09 11:20am
kemaskini 12.33pm Sultan Kelantan tiada kaitan berhubung kenyataan puteranya Tengku Temenggong Kelantan dan isterinya Manohara Odelia Pinot berhubung pelbagai tuduhan, termasuk isu penderaan.

Pejabat Sultan Kelantan menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh pasangan itu bersifat peribadi dalam hubungan mereka sebagai suami isteri.

''Oleh itu, tidak patut dan tidak boleh dikaitkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan atau Pejabat Sultan Kelantan," satu kenyataan akhbar pejabat itu dipetik.

Kenyataan yang bertandatangan seorang pegawai tadbirnya Nik Mahmud Nik Jaffar dikeluarkan bagi pihak Pengelola Istana Diraja Kelantan sebagai merujuk pergeseran berhubung perkahwinan mereka dan laporan polis yang dibuat oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra, juga dikenali Tengku TT, Khamis lalu.

Tengku TT membuat aduan terhadap isterinya dan ibu mertuanya Daisy Fajarina atas alasan memfitnah berikutan pelbagai dakwaan, termasuk bekas model itu dianiaya dan didera oleh putera Sultan.

Aduan polis di Kuala Lumpur itu selepas laporan polis Manohara terhadap suaminya, Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, kenalan kerabat tersebut Mohd Soberi Shafii dan empat yang lain.

Dalam kenyataan sama, istana Kelantan menyeru semua pihak memberi peluang kepada pihak berkuasa membuat penyiasatan secara telus dan adil.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra atau Pejabat Sultan Kelantan tidak pernah melantik sesiapa menjadi jurucakap berhubung kontroversi Manohara-Tengku TT dengan mana-mana media.

''Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak adalah bersifat peribadi dan menjadi tanggungjawab peribadi mereka," kenyataan itu dipetik.


Berikut kenyataan rasmi istana Kelantan:

Saya dititahkan untuk menarik perhatian mengenai isu perkahwinan YAM Tengku Temenggong Kelantan dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot dan laporan polis yang dibuat oleh YAM Tengku Temenggong Kelantan pada 11 Jun 2009 dan disiarkan oleh akhbar-akhbar pada 12 Jun 2009.

Adalah ditegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh YAM Tengku Temenggong Kelantan dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot adalah merupakan kenyataan peribadi dalam hubungan mereka sebagai suami isteri. Kenyataan-kenyataan tersebut tiada ada kaitan langsung dengan KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan atau Pejabat Sultan.

Memandangkan penyiasatan sedang berjalan saya berharap semua pihak dapat menghormati dan memberi peluang kepada pihak yang berkuasa untuk membuat penyiasatan secara telus dan adil. Perlu ditegaskan isu berkenaan adalah merupakan isu peribadi YAM Tengku Temenggong dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot sebagai suami isteri, oleh itu tidaklah patut dan tidak boleh dikaitkan dengan KDYMM Tuanku Al-Sultan atau Pejabat Sultan Kelantan.

Saya juga ingin memaklumkan sekali lagi bahawa KDYMM Tuanku Al-Sultan pada masa ini masih lagi dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Sama-samalah kita berdoa semoga KDYMM Tuanku Al-Sultan cepat sembuh dan kembali ke negeri Kelantan.

Seterusnya saya dititahkan untuk memaklumkan bahawa YMM Pemangku Raja atau Pejabat Sultan Kelantan tidak pernah melantik mana-mana orang menjadi jurucakap di mana-mana media. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak adalah bersifat peribadi dan menjadi tanggungjawab peribadi pihak-pihak tersebut. Selanjutnya diharapkan semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana atau membantut penyiasatan supaya isu berkenaan dalam diselesaikan melalui proses undang-undang dengan adil dan saksana.

Sekian, terima kasih.
Manohara: Luka di dada akibat pisau cukur kening
Jun 15, 09 2:28pm
dikemaskini Manohara Odelia Pinot mendedahkan lebih terperinci bagaimana kesan-kesan luka di dadanya muncul yang didakwa dilakukan oleh suaminya sendiri, Tengku Temenggong Kelantan.

Bekas model muda itu, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, berkata kejadian itu berlaku April lalu menggunakan pisau pencukur kening tetapi beliau "tidak mampu bergerak atau menjerit" untuk membantahnya, lapor harian Jakarta Globe minggu lepas.

"Perkara yang paling sukar tentang (kejadian) ini adalah saya sedar ia terjadi, saya boleh rasa, tetapi saya tidak mampu bergerak atau menjerit.

"Saya tidak tahu apakah yang beliau berikan kepada saya," katanya.

"Saya boleh nampak, mendengar beliau, menghidu bau beliau, merasai beliau.

"Saya boleh rasa kesan luka di badan saya. Ia menyakitkan. Dengan kesakitan fizikal itu, saya tidak begitu kisah."

Apabila ditanya lagi tentang jawapannya itu, Manohara mendakwa suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra melakukan sebanyak tiga kali.

"Kali pertama ia mengguris saya dengan (membuat) satu tanda kecil X di kawasan dada saya. Dan paling teruk mengenainya (perbuatannya) adalah beliau tidak menorehnya dengan pantas atau apa-apa.

"[Beliau] hanya mengambil masanya, (membuat begitu) perlahan-lahan. Beliau kelihatan tenang seperti biasa.

"Ia seperti anda memberi seseorang sebatang berus cat dan memberitahunya agar melukiskan sekuntum bunga.

"Ia mengambil masa lebih 20 minit," jelas wanita 17 tahun itu dalam wawancara eksklusif dengan akhbar itu, Jumaat lalu.

Tengku Muhammad Fakhry minggu lalu menafikan dakwaan mendera isterinya dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Manohara dan ibu mertuanya Daisy Fajarina yang membuat dakwaan tersebut, sejak April lalu.

Kenalan dekat putera raja itu Mohd Soberi Shafii selama ini sering menafikan tuduhan-tuduhan terhadap Tengku Muhammad Fakhry.

Peguamnya Mohd Haaziq Pillay enggan memberikan sebarang ulasan kepada Jakarta Globe, dengan berkata aduan polis telah difailkan berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.

Dalam wawancara yang sama, Manohara mengakui Tengku Muhammad Fakhry sangat baik kepadanya, "seorang yang sangat manis dan budiman" sehingga sanggup menerima undangannya ke Malaysia bagi kali pertama - sebelum perkahwinan - walaupun mendakwa pernah diperlakukan secara negatif oleh putera Sultan Kelantan itu sebelumnya.

Diminta mengulas sama ada kerabat istana Kelantan bertindak menindas, wanita muda itu juga berkata Sultan Kelantan "seorang yang sangat baik" dan kebanyakan mereka pernah membantunya dan sangat mesra terhadapnya.

Manohara bagaimanapun mendakwa beliau rasa "terperangkap" dalam perkahwinan mereka tetapi, secara psikologi, cuba menafikannya.

Katanya lagi, beliau mula menyedari sikap suaminya apabila menyuruhnya tidur di atas lantai kerana enggan melayannya pada malam pertama dengan alasan beliau (Manohara) tidak menganggap dirinya sebagai seorang isteri.

Manohara menambah, beliau telah cuba melepaskan diri daripada suaminya tetapi gagal, antaranya kerana pasportnya diambil pihak lain dan seorang pemandu istana enggan membawanya ke lapangan terbang apabila pasport itu pernah berada di tangannya.

Ditanya sama ada semua tuduhannya kepada putera raja itu sebahagian taktiknya untuk mencari publisiti bagi menaikkan namanya dalam industri hiburan Indonesia, Manohara berkata:

"Kalau begitu, ini bererti [kerabat istana Kelantan] sebahagian perancangan itu.

"Kami tidak boleh ke (istana) Kelantan dan berkata 'hey, bolehkah anda menculik saya, dan berpura-pura mendera saya, dan kemudian bebaskan saya?' Saya tidak nampak (tuduhan dalam soalan) itu masuk akal."

Tambahnya, beliau mempunyai bukti berhubung dakwaannya didera dan doktor juga mengesahkannya.

"Saya ada parut di merata badan, dan kesan jarum di bahagian belakang saya. Ini semua bukti tetapi (masih ada) orang tidak mempercayainya," Manohara dipetik berkata.

Beliau menegaskan hasratnya untuk terus bergiat dalam bidang peragaan dan industri hiburan, apatah lagi banyak tawaran diperolehinya sekarang.

Layanan buruk pekerja Indonesia, tegangkan isu Manohara
Jimadie Shah Othman | Jun 13, 09 4:17pm
Kegagalan kerajaan menangani isu penderaan berterusan terhadap pekerja Indonesia di negara ini menyebabkan kes "penderaan" bekas model Indonesia, Manohara Odelia Pinot menjadi tegang, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masalah hubungan Indonesia dan Malaysia terjejas kerana isu ini (Manohara), sama dengan isu penderaan pekerja dan pembantu rumah Indonesia.

"Tambah pula dengan isu Ambalat. Jadi, saya minta kerajaan Malaysia tanganinya dengan bijak," katanya dalam sidang akhbar di Bangi hari ini.

"Isu penderaan berlaku secara berterusan. Terlalu ramai pekerja Indonesia, pembantu rumah yang teraniaya.

"Ini tidak boleh dilihat sebagai sikap angkuh kita yang relatif lebih kaya untuk mendera pekerja dan pembantu rumah (Indonesia) yang dianggap lebih miskin," kata Anwar.

Beliau mengulas isu Manohara yang mendakwa didera suaminya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Kes itu kini dilaorkan kepada polis di negara masing-masing oleh pasangan diraja itu.

Siasat secara adil

Anwar berkata, ketegangan kedua negara perlu diselesaikan segera kerana Indonesia merupakan jiran yang penting kepada Malaysia.

"Saya minta kerajaan jangan tangguh (selesaikannya). Jangan hanya berharap boleh selesai (sendiri). Tetapi harus ditangani dengan bijak kerana Indonesia, seperti juga Singapura, jiran yang penting kita jalinkan hubungan paling baik," katanya.

Mengulas lanjut kes Manohara, Anwar menggesa setiap laporan yang dibuat disiasat secara adil, bebas dan mengikut lunas undang-undang.

"Kita tidak boleh menghukum (seseorang) jika kita tidak mendapat maklumat yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menyambut baik kunjungan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang bertemu dengan pemimpin politik di negara ini.

Menurutnya, pertemuan Lee dengan pemimpin kerajaan dan pembangkang, mampu mengukuhkan kefahaman dan memperkuatkan hubungan antara kedua-dua negara.



Ibu Mano: Tuhan akan tolong kami
Jimadie Shah Othman | Jun 12, 09 2:58pm
kemaskini 7.25pm Daisy Fajarina tidak gentar berdepan dengan "orang-orang berpengaruh" di Malaysia bagi menegakkan dakwaan bahawa anaknya Manohara Odelia Pinot didera oleh menantunya Tengku Temenggong Kelantan.

"Saya bersedia menghadapi orang-orang berpengaruh. Saya bukan mahu takabur, tetapi (apa yang berlaku ini) sudah luar biasa sekali.

"Saya akan terus berjuang semaksima mungkin dan terus berserah kepada Allah yang Maha Esa," katanya kepada Malaysiakini melalui telefon hari ini.

"Semua yang berlaku kepada anak saya sehingga sekarang benar-benar di luar imaginasi. Saya percaya Tuhan akan menolong kami."

Daisy berkata, walaupun beliau mengkritik tindakan menantunya Tengku Muhammad Fakhry Petra tetapi beliau tidak menafikan "masih terdapat kerabat kesultanan Kelantan yang masih bergaul mesra dengan orang ramai."

Daisy memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan polis menantunya, yang dikenali juga Tengku TT, terhadap beliau dan anaknya atas dakwaan memfitnahnya.

Dalam aduannya semalam, putera Sultan Kelantan itu dilaporkan menyifatkan tuduhan isteri dan ibu mertuanya sebagai "pembohongan besar."

Polis Kuala Lumpur menyerahkan kes yang dilaporkan itu untuk disiasat oleh polis Kubang Kerian, Kelantan.

Semalam, peguamnya Mohd Haaziq Pillay berkata, Tengku Muhammad Fakhry juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya berhubung tuduhan mereka, sejak April lalu.

Daisy berkata, setakat ini, beliau tidak perlu ke Malaysia untuk membantu siasatan polis berdasarkan laporan yang dibuat terhadapnya semalam.

"Saya tidak nampak keperluannya untuk ke sana. Soalnya sekarang, apakah mereka (Tengku Temenggong) berani datang ke Indonesia atau tidak?" katanya ketika mengulas kenyataan peguamnya Farhat Abbas hari ini.

Manohara, ibu disiasat

Farhat dilaporkan berkata beliau sendiri akan menemani anak guamnya ke Kuala Lumpur jika polis Malaysia memanggil Manohara dan Daisy susulan aduan polis Tengku Muhammad Fakhry.

Namun harus ada jaminan terlebih dahulu bahawa Manohara dan Daisy Fajarina dapat pulang ke Indonesia, lapor akhbar internet Detik.com.

Ketika Malaysiakini minta mengulas kemampuannya mencabar Tengku Temenggong melalui proses undang-undang, Daisy hanya berkata:

"Saya akan terus berjuang seperti sebelum ini."

Daisy bagaimanapun tidak dapat bercakap panjang kerana, menurutnya, beliau sedang diwawancara media Indonesia di Jakarta ketika itu.

Dalam perkembangan berkaitan, timbalan ketua polis Kelantan berkata polis akan mendapatkan keterangan Manohara dan Daisy untuk melengkapkan siasatannya.

Bercakap kepada New Straits Times petang ini, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menyatakan siasatan tersebut akan dijalankan bersama siasatan terhadap beberapa blog yang didakwa menfitnah kerabat istana Kelantan.

Tambahnya, siasatan itu dibuat bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan menfitnah.

Laporkan sendiri kes

Sementara itu, di Jakarta, kementerian luar Indonesia menyarankan Manohara agar melaporkan sendiri kesnya kepada polis Malaysia tanpa perlu mengadu kepadanya, lapor Detik.com.

Kementerian itu bagaimanapun sedia membantu proses aduan polis Manohara - mengulas hasrat bekas model muda itu untuk mengadu kepada kementerian isu yang sedang dihadapinya, minggu depan.

"Idealnya sebagai pihak yang berperkara, bisa langsung mendaftarkan perkaranya ke pihak polis Malaysia," jurucakap kementerian itu Teuku Faizasyah dipetik berkata hari ini.

"Kita akan fasilitasi jika diperlukan penyampaian berkas-berkas perkaranya ke sana."

Diminta mengulas aduan polis Tengku TT, Faizasyah menyerahkan sepenuhnya pada Manohara dan peguamnya.

Semalam, Farhat dilaporkan bercadang membawa kesnya kepada pengetahuan kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta jika Indonesia tidak mampu berbuat demikian.

"Dia kan juga warga negara Amerika. Kalau Indonesia nggak mampu (membantu laporan), ya kita ke Amerika," katanya, lapor akhbar web itu lagi.

Manohara sedia disiasat polis KL
Jun 12, 09 11:29am
kemaskini 8.06pm Manohara Odelia Pinot dan ibunya bersedia ke Malaysia jika dipanggil untuk siasatan polis berhubung isu melemparkan dakwaan palsu didera oleh suaminya Tengku Temenggong Kelantan, kata peguamnya.

Seorang peguam bekas model muda itu, Farhat Abbas berkata beliau sendiri akan menemani anak guamnya ke Kuala Lumpur jika polis Malaysia memanggil mereka berdua susulan aduan polis Tengku Muhammad Fakhry Petra semalam, lapor Detik.com.

Namun harus ada jaminan terlebih dahulu bahawa Manohara dan Daisy Fajarina dapat kembali pulang ke Indonesia, lapor akhbar internet itu lagi.

"Kalau ada jaminan kedutaan besar Amerika Syarikat dan Indonesia tentang keselamatan mereka, boleh saja," Farhat dipetik berkata hari ini.

Tengku Temenggong membuat aduan polis terhadap isterinya - yang mendakwa putera Sultan Kelantan itu memperlakukannya "seperti binatang" - bersama seorang peguamnya petang semalam di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurut peguamnya Mohd Haaziq Pillay (foto atas, kiri), Tengku Muhammad Fakhry menafikan segala dakwaan yang dilemparkan oleh Manohara dan Daisy.

"Laporan (polis) yang telah dibuat adalah terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut. Laporan itu mengatakan Manohara dan ibunya (menfitnah)," kata Mohd Haaziq.

Dalam perkembangan berkaitan, timbalan ketua polis Kelantan berkata polis akan mendapatkan keterangan Manohara dan Daisy untuk melengkapkan siasatannya.

Bercakap kepada New Straits Times petang ini, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menyatakan siasatan tersebut akan dijalankan bersama siasatan terhadap beberapa blog yang didakwa menfitnah kerabat istana Kelantan.

Tambahnya, siasatan itu dibuat bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan menfitnah.

Blog pertikai foto

Sementara itu, satu blog yang sering membela Tengku Temenggong Kelantan sejak dakwaan negatif dihadapkan kepadanya April lalu, Truth Appeared, mempertikaikan tindakan Manohara mendedahkan foto-foto bahagian badannya kepada media kelmarin.

"Tidak malukan Manohara untuk mendedahkan supaya orang lain dapat melihat selain daripada suaminya.

"Ingat, Manohara adalah masih lagi isteri TT (Tengku Temenggong) yang sah dan haram untuk orang lain memegang dan melihat aurat isterinya," satu artikel terbaru blog itu dipetik.

"Sesiapa yang menjamah dan melihat isipadu tubuh Manohara tanpa mendapat izin suaminya adalah haram dan boleh diambil tindakan undang-undang dengan tuduhan sengaja menjamah dan melihat tubuh badan Manohara tanpa kebenaran suami."

Blog tersebut, dipercayai dibangunkan oleh orang Malaysia yang mempunyai maklumat tentang hubungan pasangan diraja itu, mengulas tindakan Manohara menjalankan pemeriksaan perubatan rapi untuk mengukuhkan dakwaannya didera.

Manakala beberapa foto yang mendedahkan kesan-kesan luka di badan Manohara - dilaporkan akibat penderaan suaminya - didedahkan kepada media.

Truth Appeared mempertikaikan foto-foto itu yang tidak menunjukkan payudara Manohara, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, walaupun mendakwa bahagian badan itu juga meninggalkan kesan didera.

"Dan tidak nampak pun buah dada di dalam gambar itu yang mana Manohara sendiri mengaku dan menunjukkan di depan televisyen bahawa bahagian buah dada adalah tempat yang disilet-silet oleh TT," kata penulis blog itu lagi, yang tidak pernah mendedahkan identitinya.

Selain membela Tengku Muhammad Fakhry, blog itu sejak awal menerbitkan pelbagai siri foto pasangan diraja tersebut yang menunjukkan mereka berdua mesra dan tiada sebarang masalah rumah tangga.

Kerabat lapor polis tuduhan Manohara
Jimadie Shah Othman | Jun 11, 09 11:38am
kemaskini 10.03pm Tengku Temenggong Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot yang mendakwa putera Sultan Kelantan itu menderanya.

Tengku Muhammad Fakhry Petra hadir bersama peguamnya Mohd Haaziq Pillay petang ini di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dalam sidang media sejurus selepas jam 8 malam ini, peguam itu berkata Tengku Temenggong menafikan segala dakwaan yang dilemparkan oleh isterinya dan ibu mertuannya Daisy Fajarina.

"Laporan (polis) yang telah dibuat adalah terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut. Laporan itu mengatakan Manohara dan ibunya," kata Mohd Haaziq.

Beliau enggan mendedahkan bila aduan dibuat dan tempoh masa polis mengambil keterangan Tengku Muhammad Fakhry.

Sekumpulan 40 wartawan menunggu sidang akhbar tersebut sejak jam 3 petang di sebuah hotel dekat Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Sebahagiannya daripada media Indonesia, termasuk stesen TV, akhbar dan agensi berita nasionalnya, Antara.

Peguam tersebut enggan menyatakan secara khusus dakwaan-dakwaan tertentu yang dinafikan anak guamnya.

"Apa yang telah ditulis (di media). Kamu mungkin lebih tahu," katanya.

Tambahnya, Tengku Muhammad Fakhry merancang mengambil tindakan saman fitnah terhadap Manohara, Daisy dan mungkin melibatkan "sesiapa sahaja yang menyebarkan tuduhan dan maklumat palsu."

Tindakan undang-undang itu akan diputuskan kemudian, kata Mohd Haaziq dalam sidang media kira-kira 10 minit yang turut disertai kenalan dekat kerabat tersebut, Mohd Soberi Shafii.

Mohd Haaziq juga enggan menjelaskan tarikh tindakan undang-undang akan dibuat, sebaliknya hanya berkata: "Sehingga saya siapkan kertas saya."

Beliau menambah, anak guamnya juga tidak bercadang membuat laporan di Indonesia kerana "kejadian dikatakan berlaku di Malaysia, bukan di Indonesia."

Diminta mengulas dua laporan polis berasingan yang dibuat Manohara dan suaminya di dua negara yang dianggap tidak akan menyelesaikan isu tersebut, peguam itu berkata: "Tidak apa, kita tengok nanti."

Dihubungi selepas sidang media tersebut, seorang pegawai polis Dang Wangi mengesahkan laporan itu dibuat kira-kira jam 7 petang tadi.

Selasa minggu lalu, dua hari selepas Manohara melarikan diri ke Jakarta, Tengku Temenggong Kelantan memberikan tempoh tujuh hari kepada isterinya bagi mengemukakan bukti penderaan seperti didakwanya atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.

Manohara dan Daisy juga dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kesemua dakwaannya yang dibuatnya sejak hujung April lalu.

Bagaimanapun, setelah tempoh seminggu itu tamat semalam, amaran putera ketiga Sultan Kelantan itu tidak dilayan – malah, foto-foto yang didakwa menunjukkan kesan penderaan terhadap Manohara mula didedahkan kepada media (foto kanan).

Bekas model muda itu, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, juga membuat aduan polis terhadap Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan dan kenalan suaminya Mohd Soberi Shafii, selain Tengku Muhammad Fakhry sendiri.

Manohara demo bantah KL isu Ambalat
Jun 11, 09 1:25pm
kemaskini 7.42pm Manohara Odelia Pinot, ketika sibuk dengan dakwaannya terhadap putera Sultan Kelantan, melapangkan masa berdemonstrasi menentang Malaysia berhubung isu pencerobohan di Ambalat.

Bekas model muda itu, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, menyertai bantahan NGO republik itu yang dikenali Laskar Merah Putih di depan kedutaan Malaysia di Jakarta petang semalam, lapor akhbar internet popular Detik.com.

Dengan bertopi seragam NGO itu, wanita 17 tahun itu melaungkan suara bantahannya, di sisi ibunya Daisy Fajarina, di atas sebuah kenderaan bersama ratusan pengikut Laskar Merah Putih, badan yang turut membantu melarikannya dari Singapura, 31 Mei lalu.

Dengan bersemangat dan berapi-api, Manohara dilaporkan menggesa Indonesia bersikap tegas mempertahankan wilayah Ambalat, di tenggara Sabah, yang menjadi pertikaian dua negara itu dan dipercayai mengandungi minyak.

"Tanah Ambalat mutlak milik kita, jadi tidak perlu ada pembicaraan," Manohara dipetik berkata dalam bahasa Inggeris di Jalan Rasuna Said yang menempatkan bangunan beberapa kedutaan asing, termasuk Malaysia.

"Sebagai generasi muda, saya sangat peduli dengan kasus ini."

Gelagat Manohara - yang menjadi tumpuan besar rakyat Indonesia susulan dakwaan-dakwaan panas terhadap suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra di media - memancing minat pemandu kenderaan yang lalu lalang di jalan tersebut.

Sebahagiannya malah dilaporkan sengaja memberhentikan kenderaan masing-masing untuk melihat gadis manis itu berdemonstrasi buat kali pertama.

Sementara itu, speaker parlimen Indonesia, Agong Laksono berkata panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar telah menyampaikan permohonan maaf kepada republik itu berhubung pencerobohan kapal peronda negara ini.

Tempo Interaktif petang ini melaporkan, permohonan maaf disampaikan dalam satu pertemuan dengan lima wakil jawatankuasa pertahanan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun positif dengan maaf itu, Agong bagaimanapun dilaporkan berharap kerajaan Malaysia sendiri melalui perdana menteri mengutus surat rasmi untuk berbuat demikian.

Laman web berita itu memetik Agong sebagai berkata "Indonesia sudah puas bersabar atas tindakan pencerobohan yang sering berlaku."

Tidak ada komentar: