Kamis, 04 Juni 2009

Ambalat : Elak Tindakan Provokasi, kata Muhyidin

Ambalat: Elak tindakan provokasi, kata Muhyiddin
Jun 4, 09 1:38pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang berbentuk provokasi di sekitar perairan bertindih Ambalat berhampiran Sabah yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, negara mempunyai hubungan dua hala yang amat baik dengan Jakarta dan tidak mahu timbul sebarang masalah yang boleh menjejaskannya.

"Kita mahu mengelakkan di dalam apa bentuk sekalipun provokasi yang boleh mencetuskan perkara-perkara yang tidak elok. Kita perlu menangani perkara itu dengan berhemah.

"Kita tidak mahu timbul perkara-perkara yang mungkin boleh menjejaskan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Alam Sekitar dan Penganugerahan Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar, hari ini, lapor Bernama.

Isu tuntutan bertindih perairan Ambalat itu kembali hangat apabila
media Indonesia minggu lepas melaporkan tentang apa yang didakwa sebagai insiden pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan perairan itu.

Media Indonesia mendakwa kapal tentera lautnya yang sedang mengadakan rondaan di perairan bertindih itu minggu lepas hampir melepaskan tembakan terhadap sebuah kapal peronda TLDM kerana tidak mengendahkan arahannya supaya beredar dari perairan terbabit.

Kejadian minggu lepas itu disifatkan sebagai insiden paling buruk pernah berlaku sejak isu tuntutan bertindih tersebut timbul.

Muhyiddin berkata, pasukan keselamatan negara yang melakukan rondaan di perairan Ambalat itu telah melakukan tugas mereka secara bertanggungjawab dan mengikuti peraturan.

"Kedua-dua pihak perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kontroversi," katanya yang juga anggota Parlimen Pagoh.

Mengenai rundingan dua hala antara kedua-dua negara tentang tuntutan bertindih perairan Ambalat, Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu dikendalikan oleh pegawai Kementerian Luar.

Bagaimanapun beliau tidak mempunyai maklumat terkini tentang status rundingan dua hala itu.

Tidak ada komentar: